Oleh : Amirul Haikal
Mengapa hari ini kita bercakap tentang nilai estetik langsir? Kalau kita bercakap tentang langsir, ramai orang hanya akan bercakap tentang nilai praktikalnya seperti privasi, pengawalan kemasukan cahaya matahari dan suhu ruang dalaman rumah.
Namun, sedar atau tidak, sehelai langsir dalam sebuah bilik secara tidak langsung memberi nafas baharu kepada bilik yang muram? Sebab itu, penting untuk kita memilih langsir yang sesuai untuk bilik atau rumah kita kerana ia juga mampu menentukan tema dan suasana yang boleh diketengahkan. Mari kita kenali beberapa kebaikan estetik tersebut.
| 1. Keseimbangan antara perabot dan hiasan
Mungkin anda jenis orang yang mempunyai banyak perabot yang besar dalam sesebuah ruang. Langsir yang ringan dan cerah dapat menjadikan ruang tersebut lebih selesa untuk mata memandang. Begitu juga kalau ruang tersebut gelap dan kelam, langsir cerah dan ringan ialah solusi yang mudah dan anggun pada masa yang sama.
| 2. Memberi dinamik yang pelbagai kepada ruang yang kosong (plain)
Memberi dinamik yang pelbagai kepada ruang yang kosong (plain)
Secara umumnya, anda boleh menggunakan langsir yang warna atau reka bentuknya mempunyai kontras yang ketara dengan suasana sesebuah ruang itu. Sebagai contohnya, jika ruang bilik anda penuh dengan warna yang cerah dari siling hingga karpet, anda digalakkan menggunakan langsir yang warnanya sedikit gelap bagi menyeimbangkan kecerahan tersebut. Jika pemilihan langsir anda bijak, gaya reka bentuk minimalis yang anda impikan itu masih kekal menjadi kenyataan.
| 3. Memberi ilusi ruang yang besar atau kecil
Mungkin anda tinggal di kawasan yang ruangnya kecil, seperti kondominium ataupun pangsapuri. Kawasan yang kecil juga boleh diberi ilusi sebagai ruang yang luas (roomy) jika anda memilih reka bentuk langsir yang mempunyai garisan menegak. Ini memberikan sedikit tekstur dan ilusi keringanan, yang akan membantu ruang kita kelihatan luas. Langsir yang panjang dan digantung tinggi juga sama fungsinya.
Sebaliknya, jika ruang anda kelihatan terlalu besar dan anda ingin menambah elemen keselesaan (coziness), gunakan langsir yang warnanya gelap. Warna gelap seringkali mendominasi sesebuah ruang dan akan memberi ilusi ruang yang kecil daripada asalnya.
| 4. Bermain dengan cahaya suatu perkara yang indah!
Pernah disebut di awal perkongsian saya bahawa mengawal cahaya ialah satu fungsi praktikal langsir. Namun, ini juga boleh diintegrasikan dengan nilai estetik yang cahaya berikan. Kita mungkin pernah melihat pemandangan indah seperti gambar di bawah.
Bahan yang digunakan untuk membuat langsir itu penting kerana mampu menentukan kadar kemasukan cahaya. Mungkin sekiranya bilik anda menerima sinaran matahari waktu pagi atau petang, anda boleh gunakan langsir yang ringan dan mampu mengawal sinaran matahari yang berlebihan. Cahaya yang mencecah lantai bilik secara semulajadi memberikan keanggunan.
Tetapi, ini juga bergantung kepada keselesaan anda. Mungkin anda seseorang yang menghargai privasi dan anda gemar bergantung kepada artificial light, anda boleh pilih langsir yang diperbuat daripada bahan legap dan tidak membenarkan cahaya masuk.
| Secara konklusinya,
Nilai estetik yang sehelai langsir tidak boleh dipandang rendah. Mungkin ianya akan mengambil masa untuk anda mencari ‘identiti’ rumah anda dan tema yang anda inginkan. Itu perkara biasa. Jangan berasa takut untuk bereksperimen dengan pelbagai reka bentuk langsir kerana ianya akan membuka mata anda kepada pelbagai perspektif yang boleh dibawa oleh sehelai langsir.
Ingat, langsir yang terbaik bukan sahaja sebagai pelengkap, tetapi juga sebagai seni yang memberi nafas baharu. Sudah tiba masanya untuk anda mencari ‘identiti’ anda.
Sumber rujukan:
- https://www.homify.co.uk/ideabooks/11875/the-importance-of-curtains
- https://www.russellscurtains.co.nz/guides-and-advice/dark-curtains-vs-light-curtains
- http://julianhurstinteriors.com/the-aesthetic-importance-of-curtains/
- https://homeguides.sfgate.com/type-curtains-make-small-spaces-look-big-81749.html